Kementerian siasat UFO
Oleh Faiza Zainudin dan Mohd Anwar Patho
Rohmanbhnews@bharian.com.my
EMPAT gambar yang dirakam Zamri Zain di ruang udara Larkin, Johor Bahru, baru-baru ini menunjukkan objek bercahaya (dalam bulatan) yang didakwa UFO baru-baru ini.

Saksi diminta beri kerjasama untuk proses kenal pasti objek
KUALA LUMPUR: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengarahkan Agensi Angkasa Negara (Angkasa) segera menyiasat laporan mengenai kewujudan pesawat makhluk asing atau UFO di ruang udara Larkin, Johor, kelmarin.
Timbalan Menterinya, Fadillah Yusof, berkata pihaknya memerlukan kerjasama daripada penduduk yang mendakwa melihat objek berkenaan sejak beberapa hari lalu, bagi memudahkan proses siasatan dan tindakan lanjut.
Beliau berkata, kerjasama itu diperlukan kerana banyak aduan yang diterima sebelum ini tidak dilaporkan secara terus kepada kementerian atau agensi berkenaan sehingga menyukarkan kerja siasatan menyeluruh dilakukan.
Katanya, kementerian sebenarnya mempunyai peralatan mencukupi seperti teropong angkasa berteknologi tinggi di stesen Langkawi untuk menjalankan kajian serta mengenal pasti kewujudan makhluk atau objek asing berkenaan.

"Sekiranya mereka membuat aduan segera, ia sudah tentunya dapat memudahkan kami membuat siasatan kerana pemantauan terhadap ruang angkasa tempat objek itu dilaporkan kelihatan boleh dibuat serta-merta.
"Masalahnya, perkara itu sudah berlalu dan barulah dihebohkan kepada media manakala kami langsung tidak dimaklumkan mengenai perkara itu.
RAKAMAN video menunjukkan dua tompokan bujur mengeluarkan cahaya yang kelihatan di Kuala Lumpur pada 2000.
"Kalau benda itu (UFO) masih ada lagi, ok lah kerana kita boleh siasat terus. Bagaimanapun, kalau sudah tiada, susah kerana kita terpaksa menyiasat berdasarkan gambar yang didakwa dirakamkan itu sebagai bukti.
"Bagaimanapun Angkasa akan pergi siasat dan cuba berhubung dengan saksi yang melihat kejadian itu," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar kelmarin yang melaporkan penduduk di kawasan Larkin, Johor gempar apabila melihat beberapa objek bercahaya hijau dan putih di langit yang disifatkan seperti UFO.
Seorang pengurus perhubungan awam sebuah institusi pengajian tinggi, Zaid Zain, 43, serta adiknya, Zamri, 30, yang menyedari keganjilan objek yang dilihat itu berhasil merakam objek bercahaya berkenaan menggunakan kamera digital.
Fadillah berkata, kementerian tiada masalah untuk menyiasat perkara itu, dan bersedia berbuat demikian pada bila-bila masa. Namun pihaknya sedikit kesal kerana lewat dimaklumkan sehingga sukar untuk menjalankan siasatan.
"Kalau betul benda itu masih ada, memang kita akan tengok di sana, bawa peralatan sekali. Siasatan itu penting bagi mengetahui kewujudan makhluk berkenaan, dan sekiranya benar, pegawai Angkasa akan berkampung di kawasan itu," katanya.